Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Sunday, September 6, 2009


Masih belum terlambat rasanya untuk saya mengalu-alukan kedatangan Ramadhan yang sentiasa dirindukan oleh pencinta ibadah. Padanya terkandung pelbagai kelebihan yang dikurniakan oleh Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang semata- mata untuk memberi peluang kepada hambaNya mendekatkan diri kepadaNya. Ya Allah, betapa kasihnya Engkau kepada hambaMu kerana menyediakan pelbagai hidangan ibadah. Semoga ia menjadikan hambaMu leka dan tenggelam dalam keasyikan beribadah kepadaMu. Bahkan, terasa hampirnya kami denganMu lebih dekat daripada setiap hela nafas kami. HambaMu ini bermunajat syukur atas nikmat-nikmat yang diberi.

Perintah melaksanakan rukun Islam ketiga, iaitu berpuasa jelas dapat dilihat dalam firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud " Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa". Ada banyak hadis sahih yang menekankan kepentingan dan kelebihannya. Antaranya, Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu- hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi.

Terkesima rasanya hambaMu ini apabila mendengar sabda Rasulullah s.a.w tentang kelebihan berpuasa di bulan Ramadahan itu tadi. Ya Allah, begitu kasihnya Engkau kepada kami. Seketika aku terasa bersemangat untuk berpuasa dengan bersungguh-sungguh dan mencuba untuk mengingati, merasakan kehadiranMu di setiap hela nafasku. Namun, Ya Allah, semangatku kian luntur untuk meneruskan kesungguhanku itu, tidak lama tetapi beberapa jam selepas aku mendengar dan mencuba untuk melatih diri ini. Entahlah, adakah aku hangat-hangat tahi ayam atau lemahnya iman di dalam jiwa ini.

Kadang-kadang aku terfikir apakah ibadah aku lakukan selama ini bukan didasari dengan keimanan dan keikhlsasan kepadaMu kerana aku masih belum mampu untuk melakukan setiap perintahMu secara istiqamah, patuh dan taqwa. Masih banyak melakukan dosa. Ya Allah, rupanya ia masih belum cukup untuk aku melamar cinta dan redhaMu supaya aku sentiasa terbuai dalam keenakan beribadah kepadaMu. Namun, aku tahu rahmatMu melangit luas. Engkau merupakan Pencipta untuk merawat setiap ciptaanNya agar bebas daripada setiap fikiran yang kusut lalu beroleh jiwa yang tenang di bawah lembayung penjagaanMu.

Teringat aku kisah Rabiah Al-Adawiyah yang menumpukan seluruh cinta dan ibadahnya kepadaMu. Bagi Rabiah, penyembahannya semata-mata untuk mendapatkan redhaMu, bukan kerana syurga yang dijanjikan. Walaupun dia tahu bahawa syurga merupakan sebaik-baik tempat yang dijanjikan oleh Allah kepada hambaNya yang bertaqwa dan sebaik-baik tempat kembali. Hal ini kerana, andai kata kita beribadah semata-mata untuk mendapatkan syurga, adakah kita masih menyembah Allah jika syurga tidak disediakan kepada kita. Dan andai kata kita beribadah semata-mata kerana takut akan neraka, adakah kita masih terus sujud dan patuh kepada Allah andai neraka tidak diciptakn. Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah s.w.t.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP